Bekalan makanan untuk 850 murid sekolah ini disediakan mengikut jadual.
Bekalan makanan untuk 850 murid sekolah ini disediakan mengikut jadual.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan hari ini menafikan dakwaan murid Sekolah Seri Puteri Cyberjaya (SSPC) tidak disediakan makanan selama 14 hari sepanjang tempoh dapur asrama disita.

Jurucakapnya memberitahu, dakwaan yang tular di media sosial itu tidak benar sama sekali, bahkan kementeriannya sentiasa mengutamakan kebajikan murid dengan memastikan kebersihan dan kualiti makanan yang dibekalkan dipatuhi.

“Pihak kementerian telah mengambil tindakan sewajarnya dengan segera susulan tindakan Kementerian Kesihatan menyita dapur asrama SSPC selama 14 hari bermula 10 Januari lalu.

“Penyitaan itu dibuat atas alasan tidak bersih sehingga kemungkinan boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan penghuni asrama,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata jurucakap itu lagi, kontraktor berkenaan pernah diberi amaran dan teguran oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) sebelum ini.

Namun, katanya, pihak kontraktor bekalan makanan yang bertanggungjawab itu tidak melaksanakan kerja pembersihan dan penambahbaikan secara keseluruhan walaupun mempunyai tempoh masa yang panjang semasa cuti akhir tahun lalu.

Menurutnya, demi kepentingan murid, Jabatan Pendidikan Selangor menyediakan kontraktor penyelamat selama 14 hari bagi membolehkan makanan kepada 850 murid di asrama sekolah berkenaan disediakan dengan mencukupi dan menepati masa hidangan ditetapkan.

“Oleh itu, dakwaan yang menular di media sosial bahawa murid SSPC tidak disediakan makanan selama 14 hari sepanjang tempoh dapur asrama disita dan meragui kualiti makanan yang disediakan adalah tidak benar sama sekali.

“Kementerian juga sedang mempertimbangkan beberapa tindakan yang lebih tegas demi menjaga kebajikan murid,

“Kementerian turut meminta pengurusan sekolah meningkatkan tahap pemantauan bagi memastikan kualiti makanan yang disediakan senantiasa terpelihara dan mematuhi standard ditetapkan oleh kementerian,” katanya.

Ujarnya, kementerian itu akan memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan dalam memastikan kebersihan dapur asrama dan dewan makan sentiasa dijaga.

“Sekali lagi Kementerian Pendidikan menegsakan, pihaknya tidak akan berkomppromi dalam soal menjaga kualiti makanan yang disediakan kepada murid,” katanya. – MalaysiaGazette