pep optimis man City akan menjulang kejuaraan Eropah suatu hari nanti jika bukan hari ini.

MANCHESTER – Pep Guardiola percaya Manchester City akan merasai kejayaan menjulang Liga Juara-Juara Eropah suatu hari nanti jika bukan sekarang.

Walaupun the Citizens masih bergelut dalam pentas Eropah itu, pengurus itu yakin dengan pembaharuan yang dilakukan di kelab itu sejak 10 tahun lalu.

City kini berada dalam situasi hidup atau mati untuk melangkah ke separuh akhir liga berprestij Eropah itu.

Minggu lalu, City dimalukan 0-3 oleh Liverpool dalam aksi di Anfield.

Menjelang perlawanan timbal balik di Etihad awal pagi esok, pengurus warga Sepanyol itu dilihat tidak berputus asa dengan keyakinan bahawa musim ini adalah milik mereka.

Ditanya sama ada City mampu melakar kejayaan dalam Liga Juara-Juara kali ini, Guardiola berkata:” Kita perlukan gelaran di pentas Eropah tetapi agak sukar.

“Apa yang dilakukan kelab untuk 10 tahun lalu mewujudkan satu kemudahan menakjubkan dengan pelaburan begitu besar.

“Jadi ia (rangkul kejuaraan) bakal menjadi kenyataan suatu hari nanti. Jika tidak berlaku musim ini, mungkin musim depan atau kemudian,” katanya.

Bekas pengurus Bayern itu juga menafikan dakwaan Liverpool akan menjadi sasaran penyokong City untuk membalas dengan terhadap serangan yang merosakkan bas skuad itu di Anfield pada minggu lalu.

Katanya sejak ketibaannya ke Etihad, sebarang insiden di luar jangkaan berjaya dikekang polis Manchester. – MalaysiaGazette