Mayat lelaki yang rebah ketika menunggu giliran dibawa keluar dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah, Melaka, pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang penerima daging korban rebah sebelum meninggal dunia ketika sedang menunggu giliran agihan di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, lelaki terbabit Abd Malik Bakar, 55, ditemukan pihak penganjur dalam keadaan tidak sedarkan diri di pusat khidmat tersebut.

Menurut beliau, siasatan awal awal mendapati, si mati sebelum kejadian sedang menunggu giliran untuk mengambil agihan daging korban anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut dihadiri Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

“Ketika majlis sedang berlangsung nama si mati telah dipanggil tapi tiada sahutan sebelum penganjur mendapati mangsa telah tidak sedarkan diri.

“Pihak penganjur kemudian baringkan mangsa di atas sofa sementara pegawai khas daripada Parlimen Masjid Tanah menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal.

“Kira-kira 30 minit selepas itu, ambulans Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru tiba dan pemeriksaan dijalankan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mayat si mati yang berasal dari Batu 20 1/2 Air Selamah Durian Daun, Masjid Tanah telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette