Amirudin Shari

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor dijangka mengangkat sumpah selewat-lewatnya pada Isnin depan.

Masa yang panjang untuk mengangkat sumpah diperlukan bagi memberi ruang kepada Istana Selangor membuat persiapan sewajarnya selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pulang ke tanah air hari ini selepas menjalani prosedur perubatan di luar negara.

Sumber parti berkata, setakat ini calon Menteri Besar yang mendapat restu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Datuk Seri Amirudin Shari.

“Semalam sudah ada satu perjumpaan. Semua positif setakat ini. Istana hendak tiga nama, parti telah hantar tiga nama dengan memberi keutamaan penuh kepada Datuk Seri Amirudin Shari. Ini juga berikutan kecemerlangan rekod prestasi beliau mentadbir Selangor.

“Ahli Dewan Undangan (ADUN) penggal pertama kemungkinan besar tidak akan diberi perhatian kali ini,” katanya.

Difahamkan dua lagi nama yang diserahkan kepada istana ialah Borhan Aman Shah (Tg Sepat) dan Fahmi Ngah (Seri Setia).

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) menang di Selangor.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabtu lalu, gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. – MalaysiaGazette