Miri dipilih sebagai tuan rumah untuk Festival Filem Asia Pasifik (APFF) pada tahun 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak hari ini mengumumkan Miri sebagai tuan rumah untuk Festival Filem Asia Pasifik (APFF) tahun depan.

Ia susulan kejayaan Festival Filem Asean (AIFFA) yang ketika ini diadakan di Kuching setiap dua tahun.

Miri merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak yang menjadi pilihan sebagai salah satu rangka promosi kerajaan negeri yang mahu meningkatkan potensi pelancongan sekaligus menarik lebih ramai pelabur dari luar.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan berkata, APFF 2024 dijangka dianjurkan dalam skal lebih besar dan membawa ramai penggiat filem dari seluruh negara dunia.

“APFF diadakan setiap tahun oleh Persekutuan Penerbit Filem di Asia-Pasifik (FPA), idea ini dicadangkan semasa perasmian pembukaan AIFFA malam tadi dan pihak kami terus bersetuju dan memilih Miri sebagai lokasi tahun hadapan.

“Ini adalah peluang terbaik bagi industri perfileman dan kreatif untuk membuka lebih luas konteks bisnes dan sebagai bonus untuk pelaburan sekali gus mengangkat Sarawak sebagai lokasi pelancongan dan acara berprestij” katanya dalam ucapan ketika merasmikan AIFFA 2023 FilmBiz World semalam.

Snowdan Lawan menambah, sebagai sebahagian daripada pertumbuhan AIFFA untuk Sarawak tahun ini, kementerian mengumumkan sebuah persatuan baharu telah didaftarkan pada awal tahun ini.

Jelas beliau, Persatuan Kolektif Filem Sarawak itu ditubuhkan oleh beberapa penggiat filem dan industri kreatif TV yang mempunyai pengalaman luas di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Penerbit Filem di Asia Pasifik (FPA) dan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Pansha yang juga antara pencetus idea APFF turut melahirkan rasa teruja apabila mendapat sambutan positif dari pihak kerajaan negeri.

“Festival Filem Asia-Pasifik melibatkan penyertaan 22 negara di Asia-Pasifik dari Korea Selatan, Jepun, New Zealand dan Australia.

“APFF ini antara festival terbaik yang mampu mempromosi filem-filem Asia Pasifik ke peringkat global dan ini juga landasan terbaik untuk Sarawak lebih dikenali dan mampu kita bawa lebih luas. Miri dipilih kerana selepas Kuching, peranan kita juga mempromosi bandar kedua Sarawak ini,” katanya.

Sebagai tambahan, 670 juta penduduk ASEAN adalah populasi yang besar untuk sebarang perniagaan dan melahirkan komitmen terhadap industri kreatif yang merangkumi perniagaan filem.

AIFFA BIZ-WORLD ialah platform untuk pakar industri perfileman berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam dunia perfileman. – MalaysiaGazette