KUALA LUMPUR – Kakak kepada selebriti Neelofa iaitu Noor Nabila kecewa dan sedih apabila berjumpa kanak-kanak Melayu yang lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Noor Nabila berkata, adalah sesuatu yang agak pelik apabila kanak-kanak Melayu tidak fasih berbahasa kebangsaan dan lebih gemar bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Apabila jumpa kanak-kanak yang tak boleh berbahasa Melayu, saya rasa sedih. Tak naklah anak Melayu pelat bila cakap bahasa sendiri.

“Saya tak nak Jayden lebih pandai berbahasa Inggeris, tetapi tak fasih cakap Melayu. Kami di rumah pun akan cakap Melayu,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mahu memastikan anaknya itu fasih berbahasa Melayu namun dalam masa sama menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Selain fasih berbahasa Melayu, saya akan pastikan Jayden juga mampu bercakap loghat Kelantan. Malah, saya tak kisah kalau dia juga mampu bertutur loghat Penang,” tambahnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya perancangan untuk menambah cahaya mata, Noor Nabila menyatakan semuanya memang dalam perancangan dan sedang berusaha ke arah itu.

Setelah bercerai dengan Sharnaaz, Noor Nabila mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada Mac 2021. – MalaysiaGazette