Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berucap pada pelancaran projek perintis Koc Wanita Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang ketika di Stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn. Foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Semua pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) akan menikmati tambang percuma bagi pengangkutan awam di seluruh Lembah Klang bermula 1 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tawaran itu termasuk semua perkhidmatan di bawah Prasarana meliputi transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), monorel dan Rapid Bus.

“Tidak dinafikan insentif ini memberi implikasi kewangan kepada pihak Prasarana kerana hasil kutipan tiket berkurangan.

“Namun saya yakinkan mereka bahawa ini satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang amat penting selari dengan prinsip Madani iaitu nilai ihsan kepada golongan OKU yang menjadi gagasan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian projek perintis koc wanita MRT laluan Kajang di Stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Jelas Anthony, perkhidmatan percuma itu merupakan penambahbaikan berbanding pas konsesi sebelum ini yang memberi diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan bagi penumpang OKU.

Rentetan itu, beliau memberitahu, pihak konsesi akan mengeluarkan kad perjalanan baharu khusus untuk pemegang kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ia perlu dimohon di kaunter berkenaan.

Mengulas lanjut, Anthony memaklumkan, Rapid KL Dan Rapid Penang juga menyediakan perkhidmatan khusus untuk penumpang OKU dikenali sebagai Rapid Mobiliti.

Ia inisiatif yang melibatkan pemasangan lif hidraulik bagi membolehkan penumpang kerusi roda menaiki kenderaan dengan mudah. – MalaysiaGazette