JPJ terlibat Ops Patuh ke atas penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen memandu dan tamat cukai jalan dalam operasi di Plaza Tol Gombak Sabtu lalu. Ihsan JPJ Selangor

GOMBAK – Alasan sudah lupa dan belum menerima gaji untuk memperbaharui lesen memandu oleh penunggang motosikal gagal memujuk dan meyakinkan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan apabila dikenakan tindakan saman selepas dikesan tidak memiliki lesen memandu semasa operasi Ops Patuh.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Selangor, Mazlini Yusof itu dijalankan di laluan motosikal Plaza Tol Gombak itu pada jam 10 pagi Sabtu lalu.

“Sepanjang operasi itu dilaksanakan, sebanyak 87 telah ditahan dan diperiksa oleh anggota JPJ manakala 40 notis dan 26 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap mereka.

“Antara kesalahan yang telah dikesan kerap dalam operasi itu adalah tidak memiliki lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, ubah suai kenderaan dan tiada cermin sisi.

“Siasatan lanjut mendapati alasan yang diberi penunggang motosikal atas kesalahan tiada lesen dan cukai jalan mati ialah mereka lupa, motosikal baharu dibeli, tunggu tukar nama serta belum gaji untuk memperbaharui lesen yang sudah tamat tempoh sah laku,” kata beliau ketika dihubungi pada hari ini.

Beliau menasihatkan penunggang dan pemilik motosikal agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang jalan raya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan baik dan mengamalkan pemanduan secara berhemah.

Katanya, JPJ Selangor akan meneruskan penguatkuasaan secara tegas berlunaskan undang-undang yang termaktub bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. – MalaysiaGazette