KUALA LUMPUR – Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) boleh membekalkan 325 juta liter air sehari (MLD) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), milik kerajaan negeri, sebaik kerja bahagian pertama Fasa 1, projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2), siap pada hujung tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mahadzir Mustafa berkata, kapasiti 325 MLD itu adalah berasaskan perancangan operasi semasa, tertakluk kepada penyelesaian isu-isu pengujian dan pengoperasian yang melibatkan PAAB dan Air Selangor.

“Pembinaan bahagian pertama dijangkakan siap seawal-awalnya bulan ini. PAAB dijangka memulakan pengujian loji dan pengoperasian, dengan tempoh berbaki kira-kira tiga setengah bulan.

“Oleh itu, kami dapat membekalkan sebahagian air untuk Langat 2 menjelang akhir tahun,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri PAAB pada Selasa.

Berdasarkan laman web rasmi Projek Langat 2, projek itu dilaksanakan menerusi dua fasa, Fasa 1 dan Fasa 2, dengan setiap satu berkeupayaan merawat dan membekalkan 1,130 MLD air ke pusat-pusat permintaan sasaran.

Pembinaan Fasa 1 bermula pada 2014 dan dijadualkan siap pada 2022.

Sehingga 30 Jun, kira-kira 72 peratus pembinaan siap secara keseluruhannya.

Mahadzir berkata, Bahagian 1 dijangka menjana pendapatan bagi syarikat itu apabila ia mula membekalkan air pada akhir tahun.

Sementara itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa penstrukturan semula air di Selangor dapat diselesaikan dengan lancar selepas pembentukan kerajaan baharu.

“Susulan kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan diketuai Pakatan Harapan, pelaksanaan proses migrasi air di Selangor dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun,” katanya.

Proses migrasi air telah lama tertangguh kerana kerajaan persekutuan yang sebelum ini diketuai Barisan Nasional dan kerajaan negeri Pakatan Harapan, memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai kata sepakat mengenai nilai tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Laporan sebelum ini menyebut kerajaan Selangor diberikan sehingga 4 Julai tahun ini untuk menyelesaikan pengambilalihan SPLASH berhubung dengan proses migrasi air negeri.

Selasa lepas, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berjanji untuk memuktamadkan perjanjian air itu, termasuk pengambilalihan SPLASH, dalam tempoh sebulan.
— BERNAMA