SEOUL – Bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye dijatuhi hukuman penjara lapan tahun selepas didapati bersalah atas dakwaan salah guna kuasa dan juga menyebabkan dana milik kerajaan ‘hilang’ ketika menjadi pemerintah negara itu di  Mahkamah Korea Selatan hari ini.

Reuters melaporkan, Guen-hye yang juga telah dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun pada April selepas didapati bersalah atas pelbagai kesalahan berat termasuk rasuah, ugutan dan penyalahgunaan kuasa.

Ketika itu mahkamah turut mengarahkan Geun-hye membayar denda sebanyak 18 bilion won (RM65.56 juta).

Hari ini, Mahkamah Daerah Tengah Seoul mendapati Geun-hye mengadakan pakatan sulit dengan beberapa bekas pembantunya, yang menyebabkan kehilangan kira-kira AS$26.49 juta (RM108.670 juta) dana kerajaan yang disalurkan ke Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS).

Agensi perisikan itu dikatakan menerima peruntukan sebanyak AS$3.52 juta (RM14.31 juta) setiap tahun tetapi ia dikecualikan daripada audit atau laporan Parlimen.

Bulan lalu, dua daripada tiga bekas pengarah NIS yang terbabit dalam penyelewengan itu sudah dijatuhi hukuman penjara tiga setengah tahun, manakala seorang lagi pengarah dikenakan hukuman penjara tiga tahun.

Jurucakap mahkamah mendedahkan, semua hukuman itu berjalan secara serentak.

Bagaimanapun, Guen-hye yang berusi 66 tahun tetap mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan tidak hadir di mahkamah ketika hukuman ke atasnya dibacakan.

Guen-hye merupakan pemimpin pertama Korea Selatan yang dipaksa melepaskan jawatannya atas arahan mahkamah selepas pendedahan pembabitannya dalam skandal rasuah.

Geun-hye didapati bersubahat dengan rakannya, Choi Soon-sil memeras ugut konglomerat supaya memberi suapan sebagai balasan kepada kelebihan dalam politik yang diterima mereka.

Soon-sil yang merupakan orang kepercayaan Geun-hye disabitkan dengan tuduhan rasuah pada Februari lalu dan hubungan mereka menjadi perhatian ekoran dakwaan bahawa beliau sering memberi pengaruh yang tidak wajar ke atas urusan negara.

Selepas satu siri pendengaran dan berbulan-bulan protes jalanan, Geun-hye akhirnya dipecat pada Mac tahun lalu dan ditahan pihak berkuasa tidak lama kemudian. – MalaysiaGazette