Antara lokasi banjir Donggongon, Foto Facebook

KOTA KINABALU- Hujan lebat sejak semalam menyebabkan hampir keseluruhan pekan Donggongon, Penampang dekat sini dinaiki air, sekali gus menjejaskan semua aktiviti di kawasan berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati hanya beberapa jalan di kawasan itu boleh dilalui, khususnya kenderaan pacuan empat roda, dan kebanyakan kenderaan yang berhasrat melalui pekan berkenaan terpaksa hasrat itu dan berpatah balik.

Antara jalan yang turut tenggelam dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan ialah Jalan Kiranau Inobong, Jalan Kolopis, Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kibabaig dan Jalan Kivatu Kasigui.

Seorang peniaga restoran, Ewon Mojilis, 40, berkata sejak awal pagi tadi restorannya yang berada di pekan Donggongon telah dinaiki air sehingga paras dua meter.

“Saya sudah menjangkakan air akan naik kerana hujan lebat sejak semalam dan hanya berhenti kira-kira pukul 7.00 pagi tadi. Setiap kali hujan lebat kawasan ini sentiasa dinaiki air,” katanya yang sudah berniaga di kawasan itu sejak empat tahun lepas.

Ewon berkata keadaanya seperti sudah jatuh ditimpa tangga, apabila rumahnya di Kampung Limbanak juga telah dinaiki air sehingga ke paras bahu.

“Saya baru berpindah ke kampung berkenaan dua tahun lepas dan ini kali pertama rumah ini dinaiki air… banyak peralatan yang rosak termasuk peti ais, dan banyak peralatan elektrik yang lain. Namun segala dokumen penting sempat diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata barang keperluan yang mudah dihanyutkan telah disimpan di tempat tinggi sejak semalam dan hanya kerusi dan meja dibiarkan diletakkan di luar restorannya.

“Tiada kerugian harta benda, namun seperti sebelum ini kami akan mengambil masa sehingga dua hari untuk membersihkan kedai dan kawasan di sekelilingnya sebelum beroperasi semula. Oleh itu saya berharap cuaca hari ini baik agar keadaan di sini pulih dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Surianto Suband, 34, yang tinggal berhampiran pekan berkenaan berkata beliau terpaksa mengambil cuti hari ini ekoran rumahnya dinaiki air sehingga tiga meter.

“Banyak barang-barang yang berada di tingkat bawah rumah musnah seperti tilam, dan peralatan lain untuk kerja-kerja kontraktor. Namun barangan penting yang lain sempat dipindahkan ke tingkat atas rumah,” katanya yang kini berpindah ke rumah sepupunya, sehingga banjir pulih.

Beliau berkata ia adalah kali kelima rumahnya dinaiki air sejak beberapa tahun lepas.

“Setiap kali hujan lebat kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana ini satu-satunya rumah yang saya dan keluarga tinggal dan kami terpaksa pasrah dengan keadaan ini. Apa yang kita harapkan agar banjir ini cepat pulih,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Salmah Omar, 56, yang turut menetap di sekitar pekan berkenaan berkata, sejak semalam beliau dan lima anaknya telah memindahkan kesemua barang di tingkat atas rumah.

“Tingkat bawah rumah kami telah dinaiki air, namun tidak apa-apa kerosakan sebab semua barangan sudah dialihkan ke tingkat atas. Kami juga buat keputusan tidak pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana jauh dan kami akan tetap tinggal di sini sehingga keadaan pulih,” tambahnya. – MalaysiaGazette