Tengku Mahkota Pahang menghadiri sambutan Nuzul Quran Peringkat Negeri Pahang di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan

KUANTAN – Sambutan Nuzul Quran Peringkat Negeri Pahang diraikan secara sederhana, namun penuh penghayatan di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, pagi tadi.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah berkenan mencemar duli berangkat ke Masjid Negeri dengan memandu sendiri kenderaan baginda.

Seramai 100 tetamu hadir menyambut Majlis Sambutan Nuzul Quran serta bacaan Yaasin dan tahlil buat Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah.

Bacaan ayat Al-quran oleh qari tempatan

Wartawan MalaysiaGazette yang menyertai program ini mendapati sambutan tersebut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sempena memuliakan peristiwa Nuzul Quran pada 17 Ramadan, seramai enam qari tempatan mempendengarkan alunan suci ayat Al-Quran di hadapan jemaah.

Manakala Imam Besar Masjid Negeri 1, Datuk Badlishah Alauddin turut menyampaikan haflatul Quran dan tausiah.

Sementara itu, bacaan tahlil dan yaasin dipimpin oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman.

Turut mencemar duli, kerabat-kerabat bergelar, adinda, kekanda tuanku dan adinda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam  Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehudin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Negeri. – MalaysiaGazette