Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan sebahagian ahli yang hadir pada Majlis Perasmian Agung Tahunan yang ke-72 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melindungi pihak-pihak yang memberi maklumat mengenai salah laku membabitkan rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jaminan tersebut diberikan kepada mereka yang mengetahui aktiviti tidak bermoral itu dengan tidak perlu risau untuk melaporkannya.

“Saya tahu ada sesetengah orang perniagaan terlibat dengan korup, namun pelaporan mengenai mereka boleh dibuat dan tindakan boleh diambil oleh rakan atau sesiapa yang tahu tentang perkara itu.

“Tidak perlu takut. Kerajaan ini bersih, kami akan melindungi anda dari apa-apa bentuk tindakan balas, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 peserta yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu (ACCCIM) di hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.

Menurut Mahathir, kerajaan baharu yang wujud hari ini merupakan sebuah kerajaan yang bersih daripada segi pentadbiran dan anti rasuah.

Dalam pada itu kata beliau, sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 1981 banyak perkara dilakukan olehnya untuk membangunkan Malaysia.

Ujarnya, selepas sekian lama perkara itu dilakukan, kini kerajaan baharu yang dipilih oleh rakyat perlu membina semula pentadbiran negara ekoran kemusnahan yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan PH memerlukan masa untuk memulihkan kembali keadaan itu gara-gara kesilapan yang telah dilakukan oleh pemerintah terdahulu. – MalaysiaGazette