Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cuaca panas telah menyebabkan permintaan terhadap pendingin udara dan kipas meningkat.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Peralatan Elektrik Malaysia, Ng Chye Weng berkata, jualan pendingin udara meningkat secara mendadak, malahan berlaku kekurangan stok untuk jenama tertentu.

Beliau berkata, jualan paling laris di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, iaitu negeri-negeri yang secara bandingannya lebih panas.

Katanya kepada China Press, pembekal jenama tertentu telah menaikkan harga sebanyak lima peratus dan jenama lain juga dijangka akan mengambil langkah serupa.

“Kenaikan harga pendingin udara adalah disebabkan tempoh promosi Aidilfitri yang telah berakhir dan juga disebabkan kekurangan bekalan di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan bekalanĀ  pendingin udara bukan sahaja didorong oleh cuaca panas di Malaysia, tetapi juga di negara-negara serantau lain sehingga tiada stok untuk jenama tertentu.

“Bekalan dijangka hanya akan pulih selepas dua minggu,” katanya.

Cuaca panas sedang melanda seluruh negara sehingga ada netizen di Sabah memasak telur mata dengan menjemur telur di bawah matahari selama dua jam.

Kementerian Kesihatan menjangkakan kes strok haba akan terus meningkat dan keadaan panas dijangka akan berterusan sehingga Ogos.