Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pengendali bas sekolah tidak sepatutnya mengenakan caj tambang selagi sesi persekolahan masih belum dibuka.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, caj tersebut adalah untuk membayar perkhidmatan yang diberikan bagi menghantar dan mengambil anak-anak sekolah.

“Mereka tidak sepatutnya mengenakan caj tambang tersebut kerana tiada perkhidmatan yang diberikan ketika ini kerana sekolah masih ditutup.

“Saya percaya ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan dan saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan mereka.

“Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan arahan mengenainya,” katanya semasa sidang media hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan berbincang mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang akan dibuka.

Jelasnya, taska dan pusat jagaan kanak-kanak perlu dibuka kerana terdapat pasangan yang berkerja tidak mempunyai tempat untuk menghantar anak masing-masing.

Bagaimanapun, isu keselamatan dan kesihatan kanak-kanak serta petugas tidak akan dikompromi.

“KKM dan KPWKM akan mengadakan perbincangan sebelum SOP dikeluarkan.

“Ini bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Perkhidmatan bas sekolah seperti juga perkhidmatan bas persiaran yang hilang punca pendapatan, harap Kementerian Pengangkutan dapat bagi bantuan.

Comments are closed.