SOP PKP 2.0 membenarkan perniagaan kedai makanan dan minuman beroperasi sehingga jam 8 malam sahaja.

KUALA LUMPUR – Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang bermula hari ini menyaksikan pengguna akur arahan untuk tidak makan di gerai-gerai makan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pengguna sudah menjangkakan perkara itu bagaimanapun bersyukur kerajaan membenarkan gerai-gerai dibuka bagi mereka membeli makanan masing-masing.

Pengunjung, Afifah Rosli, 31, bercakap selepas semua premis perniagaan makanan hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan pembungkusan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Anjung Selera, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 JANUARI 2021.

Bagi seorang pekerja syarikat keselamatan, Afifah Rosli, 31, rakyat perlu bersyukur dengan usaha kerajaan untuk menangani penularan Covid-19 tanpa membelakangkan keperluan rakyat untuk mencari rezeki.

Katanya, biarpun arahan itu nampak leceh, namun ia mengajar pengguna untuk lebih patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan.

“Kita tahu akan arahan untuk membungkus makanan dan tidak boleh makan di kedai.

“Hari pertama PKP 2.0 ini nampak berjalan lancar dan lengang jalan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semua premis perniagaan makanan hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan pembungkusan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Anjung Selera, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 JANUARI 2021.

Pekerja di sektor perkhidmatan, Wan Hafizi Wan Hamzah, 30 berkata beliau turut bersyukur kerajaan membenarkan gerai-gerai makan dibuka dan ia memudahkan beliau dan rakan sekerja untuk membungkus makanan ketika waktu rehat.

Malah katanya, PKP kali ini lebih teratur daripada PKP yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

“Nampak kawasan lengang sebab PKP, jalan pun hari ini tidak sesak macam biasa.

“Bagi kami baguslah gerai ada buka sebab kami pun makan di pejabat. Kerja kami pun banyak jadi bungkus makanan ini bagus lah. Tidak makan di sini pun kamu okay.

“Kalau Kita tengok PKP pertama dahulu keadaan macam huru hara, tapi kali ini keadaan semakin bagus,” kata beliau.

Pengunjung, Ismail Mohd Noor, 60, bercakap selepas semua premis perniagaan makanan hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan pembungkusan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Anjung Selera, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 JANUARI 2021.

Menurut Ismail Mohd Noor, 60, beliau menggesa agar rakyat negara ini patuh kepada arahan PKP yang dikeluarkan kerajaan.

Ujarnya, hari pertama sememangnya ujian kepada semua pengguna bagi memastikan usaha kerajaan menangani penularan Covid-19 berjaya digerakkan.

“Buat masa ini kita terpaksa ikut arahan kerajaan, jadi kita akan tengok hari pertama macam mana sambutan daripada orang ramai.

“Hari pertama di sini kita tidak tahu lagi, pagi tadi masih okay tapi tengahari kita tengok,” katanya.

Dalam arahan PKP yang dikeluarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu, semua gerai dibenarkan menjalani perniagaan masing-masing dengan syarat hanya perkhidmatan membungkus dibenarkan.

Dalam pada itu, beberapa perkhidmatan lain seperti pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga. – MalaysiaGazette