Wan Anwar Wan Ibrahim.-Foto WAN NABIL NASIR, 24 DISEMBER 2023.

KLANG – Sekurang-kurangnya terdapat 58 kerusi kosong bagi melantik ahli Parlimen baharu sekiranya persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan.

Menurut Wakil Amanah Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim, pengubahsuaian Dewan Rakyat sebelum ini membolehkan lebih banyak kerusi baharu diwujudkan.

“Untuk pengetahuan di Dewan Rakyat itu kita ada 58 lagi kerusi kosong yang telah diubahsuai oleh pentadbiran dahulu, seharusnya memberi isyarat kepada kita sudah sampai masanya untuk laksanakan persempadanan semula untuk menambahkan lagi kerusi Parlimen dalam Dewan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan usul ‘Persempadanan semula kawasan pilihan raya’ dalam perbahasan sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara di sini hari ini.

Sementara itu, Perwakilan Amanah Wilayah Persekutuan, Hayatul Kamil mengusulkan agar persempadanan semula kawasan pilihan raya digunakan untuk menyusun semula pengundi yang bersifat pelbagai kaum.

Katanya, sempadan Parlimen yang dilakar sebelum ini seolah-olah mengumpulkan satu kelompok bangsa sahaja dalam satu-satu kawasan.

“Di mana 80 peratus pengundi adalah bangsa Cina bukan pelbagai bangsa. Di luar bandar kebanyakannya adalah Melayu.

“Jadi sempadan ini telah dilakar seolah-olah negara ini adalah negara satu bangsa bukan negara pelbagai bangsa negara Malaysia.

“Oleh kerana itu kita kena ubah cara kita membuat sempadan supaya setiap Parlimen pengundi mesti majmuk seperti negara kita yang pelabagi bangsa,” katanya yang menyokong usul ‘Persempadan Semula Kawasan Pilihan Raya’.

Hayatul juga berkata, melalui persempadanan semula parti Amanah berpeluang untuk meletakkan lebih banyak calon dalam pilihan raya akan datang.- MalaysiaGazette