Datuk A.Chandrakumanan

KUALA LUMPUR – Politeknik Seberang Perai diminta supaya tampil segera menjelaskan kebenaran di sebalik dakwaan seorang peniaga India yang kononnya disuruh memasuki Islam sekiranya mahu meneruskan perniagaan di institusi itu.

Persatuan Aduan Rakyat (PAR) menyifatkan tuduhan peniaga bernama Gopi Krishnan Gopal sebagai sangat serius yang boleh membawa kegusaran tidak diingini di mata masyarakat.

“Saya rasa politeknik perlu menjawab dan membersihkan nama institusi itu berikutan dakwaan Gopi Krishnan kononnya dia diminta memasuki Islam jika mahu meneruskan perniagaan di politeknik itu.

“Masyarakat awam ingin mendengar penjelasan dan kebenaran dari PSP mengenai dakwaan yang dilontarkan peniaga itu sama ada benar atau sebaliknya.

“Lagipun situasi seumpama tidak seharusnya dibenarkan berlaku di negara masyarakat majmuk dan berbilang kaum yang hidup harmoni.

“Saya tidak pasti atas dasar apa peniaga itu menuduh sedemikian, tetapi politeknik berkenaan wajar tampil menjelaskan perkara sebenar sebelum ia diperkotak-katikkan pihak luar,” kata Presiden PAR, Datuk A. Chandrakumanan kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, PAR melihat serius isu itu dan politeknik sebagai institusi pendidikan tinggi tidak boleh membiarkan insiden seumpama berlaku.

“Jika benar dakwaan peniaga itu, tindakan segera perlu diambil ke atas pihak yang bertindak demikian yang mana kerajaan khususnya pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bertolak ansur dalam perkara sebegini.

“Apa yang saya harapkan juga adalah supaya isu ini tidak ditiup besar oleh parti politik demi kepentingan politik, kerana yang menerima kesan adalah rakyat jua,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette