KUALA LUMPUR – Pos Laju, perkhidmatan kurier Pos Malaysia Berhad mencatatkan rekod mengedarkan sebanyak 4.42 juta barangan semasa jualan mega atas talian terbesar pada 11.11 lalu.

Ia memecahkan rekod tahun 2017 dengan sejumlah 4 juta barangan dihantar pada jualan mega itu.

“Aktiviti e-perdagangan mencatatkan peningkatan yang ketara dan Pos Malaysia memainkan peranan besar dalam menyokong pertumbuhan digita ekonomi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.

Sebelum itu, Pos Laju merekodkan pengagihan barangan tertinggi dalam beli-belah atas talian yang dibuat pada 10.10 dengan 1.91 juta.

Sebagai perbandingan jualan mega 11.11 telah mengatasi rekod 10.10 dengan kenaikan 32 peratus.

Syed Md Najib berkata, Pos Malaysia telah mengukuhkan rangkaian penghantaran dengan membuat pelaburan sebanyak RM49 juta bagi perluasan Pusat Barangan Bersepadu (IPC) di Shah Alam yang Pos Malaysia yang telah siap pada Julai lalu.

Pusat itu boleh meningkatkan keupayaan pemprosesan sehingga 300,000 barangan sehari berbanding 112,000 sebelum perluasan dibuat. – MalaysiaGazette