Reaksi penduduk sekitar rumah kedai Pasar Borong Kuala Lumpur berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Daerah Rembau hari mencatatkan perkembangan positif apabila tiada kes aktif dicatatkan menjadikan ianya kini dikategorikan sebagai zon hijau Covid-19 pada Isnin.

Menerusi data yang dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, Rembau mencatatkan empat kes aktif pada Ahad.

Selain Rembau, empat lagi zon merah di negara ini menunjukkan tanda-tanda positif apabila mencatatkan pengurangan kes aktif Covid-19.

Empat kawasan itu adalah Gombak, Cheras, Jasin dan Tawau.

Gombak kini dikategorikan zon jingga apabila mencatatkan hanya 33 kes aktif Covid-19 sementara Cheras pula 39 kes.

Jasin pula terus menunjukkan perkembangan positif apabila hanya terdapat 40 kes aktif Covid-19 dengan jumlah kumulatif pada 69 kes diikuti Tawau dengan 33 kes aktif Covid-19.

Berdasarkan jumlah itu, masih terdapat 14 zon merah di negara yang mencatatkan kes aktif Covid-19.

Antaranya daerah Petaling 111, Hulu Langat 106 kes, Klang 68, Kepong 84, Lembah Pantai 343 dengan jumlah keseluruhan positif Covid-19 tertinggi pada 629 kes.

Titiwangsa 57 kes, Melaka Tengah 61, Seremban 113, Johor Bahru 72, Kluang 86, Kuching 221 dan Kota Samarahan 55.

Untuk rekod, negeri Kelantan, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Terengganu kini direkodkan bersih daripada zon merah.

Manakala negeri Perak masih mencatatkan dua zon merah dengan jumlah kumulatif positif Covid-19 melebihi 41 kes antaranya Hilir Perak dengan 64 kes positif dengan hanya 2 kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 manakala 94 kes keseluruhan positif Covid-19 dengan tujuh kes aktif kebolehjangkitan Covid-19. – MalaysiaGazette