Seorang pelanggan menggunakan mesin automatik layan diri untuk membayar bil elektrik di Kedai Tenaga TNB Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Semenanjung Malaysia antara penerima manfaat utama daripada langkah kerajaan untuk mengatasi kemerosotan ekonomi akibat COVID-19, terutamanya rebat tertinggi untuk bil elektrik meliputi beberapa sektor dan semua isi rumah di Asia Tenggara dan dunia.

Rebat itu, yang diumumkan oleh kerajaan, bertujuan untuk meringankan beban rakyat Malaysia, terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh pandemik tersebut.

Diskaun ke atas bil elektrik TNB yang meliputi semua isi rumah di Semenanjung Malaysia di bawah pakej rangsangan ekonomi (PRE2020) telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Feb lepas.

Dalam PRE2020, kategori perniagaan yang terjejas oleh COVID-19, terutamanya sektor pelancongan, menerima diskaun sebanyak 15 peratus untuk penggunaan elektrik selama enam bulan dari 1 April hingga 30 Sept, 2020.

Diskaun itu termasuk peruntukan sebanyak RM500 juta untuk menyediakan diskaun kepada sektor pelancongan, diikuti diskaun sebanyak 2.0 peratus untuk sektor komersial, industri dan pertanian, serta semua isi rumah di Semenanjung Malaysia.

Kerajaan turut mengumumkan diskaun antara 15 peratus dan 50 peratus di bawah kadar diskaun berperingkat berdasarkan penggunaan elektrik, sehingga had 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan atau RM231.80 sebulan untuk bangunan kediaman.

Pakej bantuan tambahan juga disediakan oleh kerajaan, bersama dengan TNB, kepada semua pelanggan domestik dalam bentuk manfaat penggunaan elektrik percuma sehingga RM77 sebulan, bersamaan penggunaan elektrik sehingga 300kWj pertama untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP dari April 2020 hingga Jun 2020.

Selain itu, pelanggan domestik, yang menggunakan elektrik antara 601 dan 900 kWj sebulan, akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus dari April 2020 hingga September 2020, merupakan tambahan 8.0 peratus selain kadar diskaun 2.0 peratus yang sedia ada.

Selain itu, pelanggan yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan boleh menghubungi TNB untuk membuat pelan pembayaran selepas PKP.

Berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara, kerajaan Singapura menawarkan kepada semua isi rumah dengan sekurang-kurangnya seorang warga Singapura akan menerima subsidi sekali $100 bagi menampung bil utiliti mereka, manakala kerajaan Thailand memberikan automatik diskaun sebanyak tiga peratus kepada lapan jenis pengguna untuk bil tenaga mereka antara April dan Jun.

Sementara itu, hampir 30 juta rakyat Vietnam yang terjejas oleh pandemik COVID-19 menerima diskaun sebanyak 10 peratus ke atas bil utiliti mereka.

Kerajaan Filipina membenarkan isi rumah yang menggunakan sehingga 200 kWj sebulan untuk membayar bil mereka melalui pakej ansuran sehingga empat bulan, manakala bank, dan syarikat yang menyediakan bil air, selular dan Internet telah menyelaraskan pembayaran mereka.

Begitu juga, syarikat utiliti elektrik Korea Selatan, Korea Electric Power Corp menangguhkan pembayaran bil elektrik untuk perniagaan kecil dan keluarga yang memerlukan yang terjejas berikutan pandemik tersebut.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, yang amat terjejas oleh COVID-19, membantu daerah yang berpendapatan rendah melalui Program Diskaun Utiliti (UDP) untuk mengurangkan kos utiliti mereka.

Di bawah UDP, pengguna akan menerima diskaun sehingga US$475 setahun ke atas bil elektrik atau US$300 setahun jika mereka tidak mempunyai ‘electricity heat’; sehingga US$276 semasa musim sejuk ke atas bil gas; dan lebih US$400 setahun ke atas bil air dan pembetung. – MalaysiaGazette