Ahmad Shabery Cheek. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda yang baharu, berkuat kuasa 1 Julai 2023.

Menurut kenyataan Felda, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu diharap dapat meneruskan kesinambungan usaha transformasi yang telah berjalan selama ini demi kemaslahatan warga peneroka serta generasi baharu Felda.

“Felda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Felda pada 30 Jun 2023.

“Sepanjang tiga tahun perkhidmatan, Tan Sri telah mengangkat Felda kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh agensi ini serta warga peneroka Felda,” katanyanya.

Idris Jusoh akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa 30 Jun ini, lebih awal dari tarikh sepatutnya Mei tahun depan.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, tindakan beliau mengundur diri daripada jawatan berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada kerajaan untuk melantik pengganti yang lebih bersesuaian. – MalaysiaGazette