KUALA LUMPUR – Selepas Kuala Lumpur, konsert Sheila Majid akan dianjurkan pula di Kota Kinabalu, Sabah.

Penganjurnya, Firm Horizon Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan Sheila Majid Big Band Live In Sabah yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 12 Ogos 2023.

Menurut satu kenyataan penganjur, konsert itu mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Menurut Pengarah Urusan Firm Horizon Sdn. Bhd., Raymond Fang, setelah mengambil kira semua faktor dan jumlah peminat Sheila Majid, pihaknya bersetuju membawa kepada peminat di Borneo.

Firm Horizon Sdn. Bhd. juga mempunyai tujuan murni untuk menyalurkan sebahagian kutipan tiket kepada Yayasan Kebajikan Sabah untuk membantu usaha kebajikan organisasi itu.

“Ini juga adalah inisiatif kami untuk memberi semula kepada masyarakat melalui bidang hiburan.

“Jadi buat peminat di Borneo atau di Kota Kinabalu mahu pun di mana kalian berada, jangan terlepas peluang untuk menyaksikan Sheila Majid Big Band Live di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah nanti,” katanya.

Sheila, 58, menunaikan janjinya apabila Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur bukanlah satu-satunya konsert yang dianjurkan pada tahun ini kerana beliau pernah mengatakan tidak akan menolak seandainya konsep yang sama dibawa keluar daripada Kuala Lumpur.

“Saya bersyukur kerana konsep persembahan Sheila Majid Big Band ini diterima peminat saat dijayakan di Kuala Lumpur pada Mac lalu sehingga menarik minat Firm Horizon Sdn. Bhd. dan AL Activators Sdn. Bhd. untuk membawakannya ke Kota Kinabalu, buat para peminat saya di Borneo.

“Apa lagi yang boleh saya katakan selain berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu mahu mendengar nyanyian saya dan menikmati karya-karya saya.

“Tentu sekali akan ada repertoire lagu seperti Pengemis Muda dan Warna bersama lagu lainnya yang menerima sentuhan baharu sesuai konsep Big Band yang dibawakan,” kata Sheila.

Sheila Majid Big Band Live In Sabah kelak akan menyaksikan  iringian 17 pemuzik terdiri daripada pemain hon, pemuzik band, dan penyanyi latar yang diketuai oleh satu-satunya meastro, Mac Chew.

Tiket akan mula dijual pada 16 Jun 2023 (Khamis) melalui laman sesawang smlkk.qtic.my.

Harganya adalah RM238 (Emas), RM388 (Platinum), RM588 (Berlian), dan RM738 (VIP). Tiket VIP berpeluang memenangi sesi meet & greet dengan Sheila.- MalaysiaGazette