Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR – Peristiwa peralihan pentadbiran Kerajaan Persekutuan melalui perubahan sokongan majoriti Ahli Parlimen pertama kali berlaku pada awal 2020 .

Sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963, Langkah Sheraton adalah satu gerakan politik demokrasi yang signifikan kepada peristiwa pertukaran pemerintahan Kerajaan Persekutuan tanpa melalui proses pilihan raya.

Penganalisis politik, Mustafa Kamal Abdul Rahman berkata, lazimnya sejak pilihan raya umum pertama pada 1959 hingga PRU14 pada 2018, perubahan tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan sinonim melalui proses pilihan raya.

Beliau berkata, pertukaran kerajaan melalui cara undi tidak percaya terhadap pemimpin atau kehilangan majoriti sokongan ahli dewan perwakilan hanya terjadi di peringkat kerajaan negeri.

“Terengganu melalui pengalaman terawal bertukar kerajaan melalui undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Mohd Daud bin Abdul Samad (Pas) berlaku pada penghujung 1961.

“Akibatnya kerajaan campuran Pas-Parti Negara tumbang kerana peralihan sokongan ahli-ahli dewan parti pemerintah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurutnya, Sabah merupakan negeri yang paling banyak melalui peristiwa bertukar kerajaan negeri melalui cara ini.

“Peristiwa yang paling diingati dalam sejarah adalah kejatuhan kerajaan negeri PBS pada 1994 selang beberapa hari selepas PRN Sabah 1994,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, situasi semasa digemparkan dengan spekulasi wujud isu Kerajaan Madani bakal tumbang.

“Perkara itu kini diperkatakan secara meluas dalam media sosial yang diulas lanjut oleh kebanyakan pemerhati politik tanah air,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh dua minggu ini, Kerajaan Madani diasak dengan isu persempadanan semula kawasan Parlimen, pilihan raya PBT dan keadaan ekonomi yang merundum.

“Hal ini kemungkinan Kerajaan Madani tumbang menambah lagi tekanan politik yang meruncingkan tahap sokongan semasa kepada pemerintah,” katanya.

Tambah beliau, tindakan pemerintah menyerlahkan tahap kebimbangan mereka dengan sengaja mengalihkan perhatian rakyat melalui isu-isu kecil tetapi memberi kesan sensitiviti awam.

“PMX memainkan peranan itu dengan baik melalui cetusan polemik kisah ‘Asyhabul Kahfi Kristian’ dan isu penggunaan perkataan ‘Keling’.

“Ia sebenarnya berjaya menganjak tumpuan rakyat kepada isu kemerosotan keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat kepada PMX.

“Tidak mengejutkan cetusan dua isu tersebut dibuat dengan selamba seolah-olah spontan tenang. Ia memang ketara adalah taktik mengalih tumpuan politik,” katanya.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya benar, tindakan drastik menyita aset kepunyaan Tun Daim Zainuddin baru-baru ini adalah usaha menghalang dan mematikan langkah ‘penggerak’ menukar kerajaan.

“Khabarnya ia dikaitkan dengan penglibatan Tun Daim dan Tun Dr Mahathir.

“Ia berlaku setelah pendedahan eksklusif Papagomo dan Salim Iskandar di Tiktok.

“Pendedahan isu Kerajaan Madani bakal tumbang dan PMX dikhabarkan hilang majoriti sokongan memberi kejutan serta tumpuan luar biasa kepada rakyat umum.

“Situasi yang dicetuskan oleh kedua-dua pempengaruh politik itu mendatang ketidakselesaan kepada pemerintah,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri telah bertindak balas dengan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Openg di Kuching minggu lepas.

“Ia bagi memastikan sokongan GPS tetap berterusan kepada beliau bagi kelangsungan kerajaan Madani.

“Anwar sendiri mengatakan pada 24 Disember lalu bahawa percubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menerusi usaha menukar sokongan atau ‘tebuk atap’ tidak akan berlaku berikutan sokongan padu yang diberikan Sarawak.

Selain itu, katanya, kebetulan tempoh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal berakhir bulan depan dan Sultan Johor akan menaiki takhta.

“Kemungkinan pertukaran kerajaan itu dikhabarkan akan berlaku selepas YDPA baharu menyusun dan menstabilkan situasi politik semasa.

“Namun, di sebelah pihak lain timbul tanda tanya siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Kerajaan Madani tumbang,” katanya. – MalaysiaGazette