Nazrisha Mohamad Zainuddin menunjukkan kad pintar PELADANG-i selepas Pra Pelancaran Ò Smart Card Ò Keluarga Peladang (PELADANG-i) sempena Count Down Hari Peladang, Penternak & Nelayan Kebangsaan 2021 (HPPNK 2021) di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memperkenalkan Smart Card Keluarga Peladang (Peladang- i) sebagai kad identiti keahlian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr, Ronald Kiandee berkata, kad pintar ini dijangka akan memudahkan transaksi pembayaran tanpa tunai lebih kurang 920,000 ahli peladang dalam urus niaga ahli operasi perniagaan Pertubuhan Peladang kerana ia menggabungkan pelbagai fungsi dan kelebihan dalam satu kad Co-Brand Agrobank Debit Card.

Menurut beliau, kewujudan kad pintar ini, selaras dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan pelan tindakan dalam menerajui sektor pertanian dan industri makanan ke arah Fourth Industrial Revolution (IR4.0) termasuklah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

“Inisiatif ini satu daripada tiga pencapaian utama dalam Aspirasj Keluarga Malaysia (AKM) yang telah dipilih oleh kementerian itu, ” katanya pada majlis Pra Pelancaran Smart Card Keluarga Peladang (Peldang -i) dan Countdown Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang.

Ronald berkata, kelebihan kad pintar Peladang-i ini adalah ia menawarkan perlindungan Takaful Kasih Plus sehingga RM5,000 atas musibah yang berlaku.

Ujarnya, ahli hanya perlu menyumbang seminimum RM5 setahun.

“Skim ini selaras dengan sokongan dan galakan kerajaan melalui Bajet 2022 yang memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk semua ahli PPK seluruh Malaysia diberi perlindungan takaful di bawah Skim Perlindungan Takaful Kad Pintar,” jelas beliau.

Kad pintar ini juga tambah beliau, akan memudahkan kerajaan mengakses maklumat mengenal pasti golongan sasaran untuk bantuan subsidi dan insentif kepada ahli peladang yang layak.

Ronald yakin, keistimewaan dan kemudahan pintar ini mampu menarik minat golongan muda yang berumur 18 tahun ke atas untuk menjadi ahli peladang di kawasan masing-masing seterusnya mendapat perlindungan kewangan sehingga usia 70 tahun.

Terdahulu Ronald berkata, sehingga kini lebih 2,000 kad pintar Pelindung-i telah dikeluarkan. – MalaysiaGazette