Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat Replika Perumahan Projek SASaR di PSV Sales Gallery, Sungai Besi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 16 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Kegagalan sub kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan kerja pendawaian elektrik pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing di Johor menjadi punca  kelewatan projek itu siap mengikut jangkaan sebelum ini.

Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam proses melantik sub kontraktor baharu melalui proses tender terbuka bagi meneruskan kerja-kerja tersebut.

“Ada masalah dengan sub kontraktor lantikan yang tidak dapat menjalankan kerja elektrik dan sebagainya. Maka terpaksa cari pengganti, kontraktor lantikan ini biasanya ada kepakaran dan keupayaan, tidak mudah untuk cari ganti, prosesnya perlu tender maka ambil masa kita dapat jaminan daripada JKR perkara ini diberi perhatian khusus harap dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak Perumahan Projek SASaR Sungai Besi.

Menurut Mohamed Khaled projek berkenaan kini telah 98.4 peratus siap.

“Oleh kerana projek Kementerian Pertahanan tapi dikendalikan JKR dan saya percaya garis masa ditentukan pihak itu,  jika ada kelewatan kontraktor (yang berkenaan) dikenakan penalti,” katanya lagi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memerintahkan pihak bertanggungjawab yang membina kolam selam tempur di Kem Iskandar memberi penjelasan punca kelewatan pembinaan berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022 namun sehingga kini ia masih dalam pembinaan.

Difahamkan, papan tanda projek tersebut turut dirobohkan.

Sebagai rekod, sebelum ini majlis pecah tanah disempurnakan oleh Sultan Ibrahim yang pada ketika itu adalah Sultan Johor.

Kolam selam tempur itu adalah satu kemudahan yang amat diperlukan oleh anggota 21 Grup Gerak Khas (GGK) bagi meningkatkan kecekapan individu dan kumpulan khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong mahu penjelasan kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here