Dr. S. Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramaniam menyindir Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang cuba mempolitikkan soalan berhubung isu kesihatan mental.

Zuraida semasa bertanya soalan tambahan mendakwa pemimpin yang menggunakan ucapan-ucapan ganas seperti ‘kepala bapa kau’ juga sebenarnya mengalami simptom sakit mental sehingga menimbulkan kekecohan seketika dalam Dewan Rakyat hari ini.

“Salah satu punca stres adalah apabila satu soalan kesihatan dijadikan soalan politik.

“Sebagai rakyat yang sedari tentang keperluan untuk kurangkan stres kita kena terlebih dahulu faham soalan apa yang boleh tanya dan tidak boleh ditanya,” bidas Subramaniam kepada Zuraida.

Terdahulu, Subramaniam yang juga Presiden MIC menjelaskan, daripada kajian yang dilakukan, kebanyakan mereka yang mengalami masalah mental adalah dalam kalangan orang dewasa berumur 16 tahun ke atas.

“Mengikut kajian National Health and Mobility Survey (NHMS) yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada 2015, prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa berumur 16 tahun ke atas adalah 29.2 peratus.

“Bagaimanapun, peratusan ini merujuk kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan mental dan bukan penyakit mental,” ujarnya.

Bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat, Subramaniam berkata, beberapa langkah sudah diambil oleh kerajaan antaranya melalui Program Kesihatan Mental Komuniti, mempromosikan usaha pencegahan kesihatan mental menerusi latihan kemahiran daya tindak dan aktiviti pemerkasaaan komuniti, membangunkan Program Menangani Stress di tempat kerja melalui KOSPEN PLUS dan melaksanakan Program Minda Sihat dalam kalangan murid Tingkatan 4 di 2343 buah sekolah seluruh negara.

Selain itu, kementerian juga menyediakan perkhidmatan psikiatri di empat buah institusi mental dan 33 hospital kerajaan di seluruh Malaysia.

Kementerian juga mewujudkan sebanyak 22 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di seluruh negara bagi memberi perkhidmatan saringan, pengesanan awal, membantu proses pemulihan dan rehabilitasi, latihan kemahiran daya tindak dan sesi kaunseling diberikan.

Turut disediakan perkhidmatan kaunseling serta pendidikan keluarga yang mempunyai waris yang mengidap penyakit mental mengenai cara pengendalian pesakit mental di rumah. – MalaysiaGazette