KUALA LUMPUR – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah mangkat kira-kira jam 2.30 petang tadi pada usia 89 tahun di kediaman rasminya, Istana Anak Bukit.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan ringkas mengesahkan kemangkatan baginda dan upacara istiadat pemakaman akan diumumkan oleh Kerajaan Negeri Kedah kelak.

Satu sidang media berhubung kemangkatan juga akan diadakan jam 5 petang ini di bangunan kerajaan negeri.

Baginda diputerakan di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah sebagai Tunku Abdul Halim pada 28 November 1927.

Baginda merupakan anak kedua Tunku Badlishah bersama Tunku Safiah binti Tunku Mahmud, namun putera tertua yang hidup. Baginda kemudian menjadi Raja Muda Kedah pada 1949.

Baginda merupakan lepasan Wadham College, Oxford, di mana baginda memperoleh diploma dalam Sains Sosial dan Pentadbiran Awam.

Baginda mewarisi takhta Kedah ayahandanya pada Julai 1958 dan ditabalkan pada Februari 1959.

Selain itu, baginda ialah anak saudara kepada Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (Perdana Menteri Malaysia Pertama).

Baginda satu-satunya Sultan yang terpilih menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada 1970 dan 2012.

Tunku Abdul Halim menamatkan tempoh pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette