Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman menunjukkan barang rampasan dadah selepas sidang media mengenai kejayaan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi oleh warganegara asing dan tempatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket pengedaran dadah yang menyimpan syabu dalam sebuah lori terbongkar dengan tertangkap enam ahlinya dalam tiga serbuan berasingan di tiga buah hotel, di sini, pada Khamis lalu

Sindiket yang didalangi lelaki warga Singapura itu disyaki giat melakukan jenayah tersebut sejak sebulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, hasil soal siasat ke atas suspek dan berpandukan maklumat, polis telah melakukan serbuan keempat di sebuah taman perumahan di Selangor sebelum menemui dadah disyaki syabu seberat 141 kilogram di dalam sebuah sebuah lori tiga tan.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket ialah menyimpan bekalan syabu yang dibungkus dalam pek teh sebelum disorok di dalam lori tersebut yang diparkir di kawasan perumahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Antara rampasan dadah yang ditunjukkan pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi oleh warganegara asing dan tempatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 JANUARI 2022.

Menurutnya, dadah seberat 141 kilogram itu dianggarkan bernilai RM5.08 juta selain menemui heroin seberat 0.7 gram bernilai RM35 dan empat biji pil erimin 5 (RM60)

Kata Yahaya, phaknya turut merampas  wang tunai berjumlah RM5,168 dalam Operasi Mitch itu.

“Empat warga tempatan yang bersubahat dalam kegiatan ini didapati memiliki rekod jenayah lampau berkaitan aktiviti dadah dan turut disahkan positif syabu menerusi ujian saringan air kencing manakala dalang dan wanita Vietnam itu negatif rekod jenayah dan urin.

“Siasatan juga mendedahkan lelaki dalang dan wanita Vietnam itu memiliki pasport lawatan sosial yang sah dan sindiket berkenaan baru sebulan aktif dalam pengedaran tersebut mensasarkan pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek yang berumur antara 20 hingga 42 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujar Yahaya, setiap ahli sindiket tidak bertemu secara bersemuka dan hanya berkomunikasi menerusi telefon bagi memaklumkan lokasi kutipan dadah kepada pembekal kecil di sekitar Lembah Klang.

Katanya, dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 282,108 pengguna dadah.

Sementara itu, Yahaya berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemilik lori bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette