Kenyataan kononnya Tapah ketinggalan daripada arus pembangunan dan setanding kawasan Parlimen yang lain di Negeri Perak adalah tidak benar serta sekadar naratif pembangkang semata-mata.

Sebaliknya untuk makluman, Tapah kini bersedia untuk menjalani transformasi daripada bandar yang tenang kepada pusat bandar yang moden dan sibuk melalui perbandaran satelit dipacu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) baharu.

Datuk Seri M.Saravanan, Ahli Parlimen Tapah sejak tahun 2008 jelas melaksana pelbagai program pembangunan yang berjaya mengubah landskap pembangunan yang membawa kemajuan kepada warga Tapah.

Pembinaan kereta kabel antara Tapah ke Ringlet, Cameron Highlands, Pahang yang masih di peringkat perancangan merupakan projek perdana yang dicadangkan dalam draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang.

Sudah tentu, limpahan sektor pelancongan di tanah tinggi itu boleh memberi impak besar kepada pembangunan di daerah Batang Padang, Parlimen Tapah.

Taman Eko Rimba Lata Kinjang di Tapah merupakan salah satu projek perdana yang telah mulakan dan sedang dalam proses pembangunan. Usaha tersebut dijalankan bersama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang bukan sahaja membangunkan taman itu tetapi komuniti perkampungan orang asli berhampiran.

Ia berasaskan pelancongan yang mana dapat memberi kemahiran untuk mengendalikan kawasan tersebut secara teratur dengan bantuan dan pengawasan daripada kerajaan negeri.

Dari dulu hingga sekarang warga penduduk Tapah dapat menyaksikan pelbagai pembangunan dilaksanakan kerajaan pusat dan negeri bagi membangunkan dan memajukan kawasan ini.

Hakikatnya Tapah dapat disifatkan sebagai kawasan parlimen ‘ke hadapan dan progresif’. Konsep pembangunan di sini berasaskan kepada mewujudkan konsep kehidupan serba lengkap.

Pembangunan infrastruktur di kawasan ini merangkumi UiTM Cawangan Perak, kampus Tapah, kolej komuniti Tapah, kawasan perumahan moden, mini stadium, arena Merdeka, terminal bas, bazar rakyat, kemudahan riadah, tadika, masjid, kuil, gereja, tokong, kompleks sukan, kemudahan dewan serbaguna dan sebagainya.

Anda sebut sahaja, semuanya ada.

Selain daripada keindahan alam semula jadi, Taman Eko Rimba Lata Kinjang, sungai, gunung-ganang dan bukit-bukau, malahan bunga-bungaan antara tumbuhan yang mewarnai kawasan hutan juga menjadi tarikan pengunjung ke Tapah.

Perkampungan masyarakat Orang Asli di sini memiliki keunikan budaya, makanan tradisional selain seni tarian yang tersendiri. Masyarakat Orang Asli di sini sangat sinonim dengan penghasilan sumpit bagi tujuan memburu sejak dahulu lagi.

Menteri Sumber Manusia Menteri yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M.Saravanan Murugan hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2020.

Terbaru, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia telah melancarkan Pusat Latihan dan Pembangunan Komuniti yang bertempat di Pusat Perniagaan Akasia 2, Tapah, Perak.

Pusat ini adalah bagi memperkasa aktiviti pembangunan sosioekonomi dan menjalankan program-program peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) dalam kalangan komuniti. Selain itu, pusat ini bertindak sebagai pusat sehenti untuk aktiviti penyelidikan dan analisis jurang kemahiran.

Lebih menarik, pusat ini dikendalikan oleh 10 orang Warga HRD Corp yang terdiri daripada pelbagai suku kaum Orang Asli dengan pelbagai latar belakang pendidikan yang berbeza.

Tapah merupakan sebuah bandar kecil dalam daerah Batang Padang, negeri Perak. Nama bandar ini diambil dari seekor ikan air segar iaitu “Ikan Tapah” atau nama saintifiknya iaitu Wallago attu. Orang tempatan berkata nama bandar ini diambil dari loghat Melayu-Perak yang bermaksud tidak mengapa.

M.Vivekananthan, Setiausaha Sulit Kepada Menteri Sumber Manusia