Gambar hiasan

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu akur dengan saranan Kementerian Pendidikan supaya Sekolah Kebangsaan (SK) tidak mengadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Khamis ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan diminta mengeluarkan pekeliling berhubung perkara tersebut kepada semua SK dalam tempoh terdekat.

Saranan tersebut memberi peluang kepada semua pihak untuk menilai semula impaknya terutama kepada pelajar kurang cemerlang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Transformasi Siswazah Terengganu (TGTP) di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini menyarankan supaya tidak membebani tugas guru dengan mengadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang UPSR sedangkan ratusan murid calon UPSR lain hanya memerhati sahaja dengan perasaan mereka tidak dihargai.

Mahdzir turut mengingatkan bahawa UPSR hanyalah langkah pertama dalam pengembaraan hidup pelajar dan semua pihak perlu memberi semangat kepada semua pelajar.

Keputusan UPSR 2017 akan diumumkan Khamis ini.

— BERNAMA