Muhamad Rafie Mat Yaacob

KUALA LUMPUR – Penyerang UiTM FC, Muhamad Rafie Mat Yaacob menganggap ketiadaan pemain import dalam pasukan musim ini bakal memberi ruang terbaik untuknya memberi impak di bahagian depan dalam pentas Liga Premier.

Meskipun sedar cabaran yang lebih getir ditempuh UiTM FC tanpa kudrat pemain import namun Rafie melihat situasi itu sebagai peluang yang besar untuknya bersama pemain lain lebih menyerlah.

Selaku penyerang, pemain berusia 24 tahun itu sedar kepentingan bahagian depan pasukan dan bertekad ingin meledak seberapa banyak jaringan selepas tidak berjaya menghasilkan sebarang gol pada musim lalu.

“Memang agak mencabar juga apabila tiada pemain import pada tahun ini, sebab sebelum ini kita pun berharap dekat mereka untuk mantapkan pasukan.

“Tapi dalam masa sama, ini juga merupakan peluang yang lebih baik untuk pemain-pemain lain terutamanya mereka yang masih muda yang mahukan pengalaman bermain.

“Saya sendiri pun mahu cuba merebut peluang untuk menjaringkan gol sebab tahun lepas tak melakukan sebarang jaringan, jadi saya akan melakukan terbaik untuk bantu pasukan di bahagian depan,” jelasnya.

Malam tadi UiTC tewas 0-2 kepada dengan Kuching City FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA.

Tiga perlawanan tertunda pusingan pertama Piala FA 2022 akan berlangsung pada malam tadi membabitkan Melaka United FC menentang PIB FC, Kuching City FC akan berdepan UiTM FC manakala Perak FC menerima kunjungan skuad Kijang Rangers FC. – MalaysiaGazette