Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meraikan kemenangan besar BN Melaka.

AYER KEROH – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh dikompaun sebanyak RM10,000 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut satu kenyataan, kompaun itu dikeluarkan setelah pihaknya mendapati berlaku pelanggaran SOP semasa tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melibatkan kedua-dua individu tersebut pada 19 November di kawasan Masjid Tanah.

Justeru, satu kompaun di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 bernilai RM10,000 bagi setiap individu telah dikeluarkan.

“Kompaun dikeluarkan berikutan perlanggaran SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 iaitu menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka,” kata KKM.

Ketika itu, Ahmad Zahid dan Ab Rauf dalam siri ziarah penduduk kampung di sekitar DUN Tanjung Bidara pada Jumaat lalu.

KKM dalam pada itu berkata, pihaknya akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP.

“KKM juga menyeru seluruh masyarakat untuk terus patuh kepada arahan SOP, sentiasa prihatin kepada keselamatan rakyat dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19 di Malaysia,” kata KKM lagi. – MalaysiaGazette