KUALA LUMPUR – Tertuduh kelima dalam perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa mangsa menjerit “jangan buat lagi”, menarik kaki dan menepis semasa dia menekap seterika wap di bahagian kaki mangsa.

Mohamad Shobirin Sabri, 23, berkata dia secara spontan menekap seterika wap itu di bahagian kaki Zulfarhan selepas seseorang yang tidak dapat dipastikan menyerah seterika itu kepadanya.

“Pada 22 Mei 2017 lebih kurang pukul 4.30 pagi, saya pergi ke bilik 4-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM dan saya dengar beberapa orang sedang menyoal siasat Zulfarhan mengenai kes kecurian barang di blok asrama itu.

“Selang beberapa minit, saya ingin keluar daripada bilik tersebut kerana kebetulan waktu itu saya mahu bersiap untuk solat Subuh di masjid. Semasa mahu keluar dari bilik, seseorang yang saya tidak pasti menyuruh saya menggunakan seterika wap kepada Zulfarhan dan saya secara spontan menggunakan seterika itu kepada Zulfarhan sekali sahaja.

“Selepas itu saya meletakkan seterika wap itu di atas meja dan terus kembali ke bilik saya di 5-2, blok penginapan asrama Jebat, UPNM,” katanya disoal peguamnya Datuk Hazman Ahmad pada prosiding membela diri dalam kes pembunuhan Zulfarhan.

Mohamad Shobirin berkata dia mengetahui rakan-rakannya termasuk tertuduh pertama Muhammad Akmal Zuhairi Azmal membawa Zulfarhan ke Klinik As-Salam di Bangi untuk mendapatkan rawatan semasa berada di sebuah hotel di Bangi pada 27 Mei 2017.

“Saya melihat ada balutan bandage di beberapa bahagian tubuh badan Zulfarhan dan semasa bersembang, Zulfarhan memberitahu saya bahawa dia berada dalam keadaan OK,” katanya yang merupakan anak sulung daripada 10 beradik.

Tertuduh berkata sepanjang 28 Mei hingga 30 Mei 2017, dia tidak pernah melawat Zulfarhan sehinggalah mengetahui kematian mangsa pada 1 Jun pukul 10.30 malam semasa berkumpul di hadapan Wisma Pegawai Kadet.

Semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim mengenai perkataan yang disebut Zulfarhan semasa dia menjerit, tertuduh menjawab: “Jangan buat lagi”.

Tertuduh bersetuju dengan Julia bahawa dia mempunyai pengetahuan bahawa seterika wap itu berasap dan panas, namun tetap menekapnya di bahagian kaki Zulfarhan.

“Benar Yang Arif,” jawab Mohamad Sobirin selepas ditanya Julia adakah semasa kejadian dia mempunyai pilihan untuk menekap atau tidak seterika wap ke atas Zulfarhan.

Kepada cadangan Julia bahawa Zulfarhan menjerit kerana dia berada dalam keadaan kesakitan memandangkan seterika wap itu panas dan keluar wap, Mohamad Sobirin menjawab: “Benar ia berwap”.

Julia: Setuju tak kalau keluar wap maknanya panas

Mohamad Sobirin: Setuju Yang Arif.

Mohamad Sobirin, antara 18 pelajar UPNM yang diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan, juga bersetuju dengan Julia bahawa perbuatannya itu salah.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa mencedera mangĀ­sa bagi mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 Feb depan.- BERNAMA

1 Komen

  1. Apa jua kata kau .. perbuatan kau menyumbang kecederaan yang membawa kematian..
    Sepatutnya kau bantu redakan keadaan. Ini tidak.. kau tokok tambah penyeksaan…
    Saya dengan ini menyokong kau dibicarakan. Terpulanhlah keputusan majkamah terhadap kau semua

Comments are closed.