KUALA LUMPUR – Isu samseng jalanan menjadi fokus utama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam usaha membendung daripada berleluasa di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya telah mengenalpasti kawasan yang sering dijadikan port samseng jalanan melakukan aktiviti mereka seperti berlumba.

“Kita memberi peringatan kepada orang-orang muda terutama penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan polis.

“JSPT tidak akan berkompromi dalam hal ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekang kegiatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni dan mengedarkan bubur lambuk kepada anggota trafik bertugas dan orang awam di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Azman, pihaknya akan membuat perancangan yang lebih strategik untuk mengambil tindakan. – MalaysiaGazette