Sesudip nasi kosong, separuh sosej dijadikan menu makanan Rancangan Makanan Tambahan murid miskin

Seorang guru di sebuah sekolah rendah di Pasir Mas, Kelantan meminta pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turun padang melihat sendiri bagaimana makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) disediakan untuk murid.

Guru berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau sedih melihat menu makanan pagi untuk murid miskin tegar disediakan seperti nasi kosong dengan lauk separuh potongan sosej.

Katanya, pihak yang diberi tanggungjawab menyediakan makanan RMT tidak wajar menyediakan menu seperti itu, walaupun harga disediakan kerajaan hanya RM2.50 untuk seorang murid.

“Pagi tadi saya turun ke kantin sekolah, saya terkejut melihat makanan yang dihidangkan atas meja tidak terusik.

“Saya tanya beberapa murid yang ada di situ kenapa tidak makan nasi disediakan. Mereka jawab tidak ada selera.

“Kemudian saya ambil makanan itu dan setelah melihatnya sendiri, baru saya tahu kenapa murid hilang selera untuk makan,” katanya.

Menurut pekeliling Kementerian Pendidikan bertarikh 19 Januari 2016, pelaksanaan program itu bertujuan menyediakan makanan berkhasiat yang mengandungi nutrisi seimbang kepada murid bagi membantu mereka memberi tumpuan kepada pembelajaran dalam kelas.

Penyediaan menu makanan hendaklah mematuhi senarai menu yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan, manakala Jabatan Pendidikan Negeri, PPD dan Jawatankuasa RMT sekolah hendaklah membuat pemantauan untuk memastikan semua peraturan dan prosedur kewangan dipatuhi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast