Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk membendung turun naik dalam pasaran pertukaran asing dan bank pusat itu menegaskan hari ini yang kadar mata wang tersebut dalam negara adalah harga rujukan yang betul.

Penolong Gabenor, Adnan Zaylani berkata, bank itu telah memaklumkan bank berlesen tempatan supaya tidak memudahkan sebarang kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) bagi ringgit atau kadar luar pesisir kerana ia dianggap tidak rasmi.

“Pasaran NDF telah meningkatkan kadar dalam negara 5 hingga 6 sen lebih tinggi. Ia adalah situasi di mana kita tidak boleh bertolak-ansur dan kita sedang mengambil langkah-langkah serius bagi menanganinya,” katanya.

Adnan, bagaimanapun, mengakui ia tugas yang sukar untuk menguruskan pasaran kerana Malaysia adalah pasaran terbuka dan bank pusat itu mempunyai dasar untuk mengekalkan ringgit sebagai mata wang tidak diniagakan di peringkat antarabangsa dan mengelak potensi spekulasi.

Beliau berkata, BNM hanya boleh cuba mengurangkan pengaruh pasaran NDF ke atas dagangan dalam negara tetapi ia tidak boleh ‘membunuhnya’ sepenuhnya kerana ia beroperasi di luar bidang kuasa bank tersebut.

Satu cara bank pusat itu boleh menangani situasi itu adalah dengan meningkatkan fleksibiliti pasaran dalam negara dengan menjadikannya lebih menarik.

“Jadikannya pasaran pilihan untuk penduduk dan bukan penduduk, malah menarik sebahagian penggiat pasaran NDF luar pesisir untuk datang ke dalam negara,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Adnan menjelaskan mungkin terdapat pengurus dana dengan pemegangan yang besar di pasaran Malaysia tetapi lebih gemar untuk melindung nilai di luar pesisir.

“Oleh itu, ia adalah strategi masa depan untuk menampung permintaan pasaran pertukaran asing serta bon,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat pelan spontan yang dilaksana BNM berikutan turun naik ketika ini, Adnan berkata, terdapat beberapa inisiatif dirancang untuk 2017 dan berikutan senario ketika ini, bank pusat itu mungkin mempercepatkannya.

Beliau juga berkata, bank itu boleh mengambil tindakan punitif ke atas bank asing atau tempatan yang berdaftar di Malaysia jika mereka memudahkan transaksi NDF.

“Kami boleh mengambil (tindakan punitif) kerana mereka melanggar Pentadbiran Peraturan Pertukaran Asing (FEA).

“Malah kami boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang jenayah atau pentadbiran (ke atas mereka),” tambah beliau.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast