Gambar hiasan

Harga RON95, petrol yang digunakan sebahagian besar oleh rakyat Malaysia dijangka berada pada purata RM2.10 hingga RM2.20 seliter pada tahun 2017.

Ini bermakna harga RON95 dijangka berlegar-legar pada sekitar RM2.20 hingga RM2.40 seliter.

Penganalisis ekonomi memberitahu MalaysiaGazette, pasaran sudah meramalkan kenaikan harga RON95 yang dipacu oleh purata  harga minyak mentah dunia sekitar AS$50 setong tahun depan.

Kenaikan harga minyak dunia disumbangkan oleh pelaksanaan perjanjian pengurangan bekalan minyak dunia oleh OPEC dan bukan OPEC.

Juga disebabkan oleh penurunan nilai ringgit dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat, katanya.

Ramalan itu selari dengan unjuran beberapa firma penyelidikan tempatan yang mengunjurkan kadar inflasi pada tahun depan.

MIDF Investment dalam Tinjauan Ekonomi 2017 menjangkakan kadar inflasi meningkat kepada 2.8 peratus berbanding unjuran 2.3 peratus pada tahun ini.

Sumber menambah, kenaikan harga RON95 itu bakal menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi negara pada tahun 2017.

Meksipun harga pasaran minyak mentah dunia dijangka kembali stabil dan memberi kesan signifikan kepada penggunaan, namun ia tertakluk kepada keputusan kerajaan.

Ini kerana, katanya, walaupun kerajaan memperkenalkan harga apungan sejak tahun lalu namun jika pilihan raya umum akan diadakan tahun depan, maklum balas kenaikan adalah berbeza.

“Penetapan harga minyak walaupun ditentukan oleh pasaran tetapi bukan mudah jika harga RON95 dinaikkan pada paras RM2.20 hingga RM2.40 seliter terutama menjelang pilihan raya.

“Sukar untuk ditelah bagaimana atau apakah yang bakal berlaku. Atau kerajaan mempunyai mekanisme lain untuk menyerap kenaikan harga minyak ini, kena tunggu dan lihat,” katanya.

Mengulas mengenai harga minyak pada bulan depan, penganalisis itu percaya harga petrol naik seiring dengan petunjuk positif harga minyak mentah dunia sejak kebelakangan ini.

Kelmarin, harga minyak dunia melonjak 18 bulan tertinggi dalam dagangan hari ini selepas OPEC dan bukan OPEC buat kali pertama sejak tahun 2001mencapai kata sepakat untuk mengurangkan pengeluaran minyak bagi menangani lebihan bekalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast