Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan teragak-agak membatalkan kontrak vendor Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) jika perkhidmatan yang diberikan gagal menepati piawaian yang ditetapkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan dan akan memberi tempoh kepada pihak vendor terbabit untuk memperbaiki sistem biometrik itu.

“Kami akan lihat perjanjian yang telah ditandatangani dan kami ikut jangka masa yang telah ditentukan dalam perjanjian.

“Saya tidak fikir kami boleh lanjutkan lagi tempoh untuk mereka memperbaiki (myIMMs) kerana yang penting adalah perkhidmatan kepada rakyat dan pelancong yang masuk ke negara kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen, di sini hari ini.

Walaupun bayaran penuh telah dibuat oleh JIM untuk sistem tersebut namun terdapat klausa dalam perjanjian berkenaan yang membolehkan kerajaan mengenakan penalti terhadap vendor terbabit jika perkhidmatannya tidak memuaskan, katanya.

“Pihak JIM sedar mengenai masalah yang timbul dan cuba memperbaiki dari semasa ke semasa tetapi kami telah sampai ke peringkat ditolak hingga ke dinding dan kami tidak boleh menerima lagi perkhidmatan oleh vendor tersebut,” kata Ahmad Zahid.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 pada 21 Nov lepas menegur perkhidmatan myIMMs yang menelan belanja RM29.9 juta tidak menepati piawaian dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang boleh menjejaskan pencapaian objektifnya.

Selain itu, media turut melaporkan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama JIM, sering tergendala, dipercayai antara punca warga asing mudah membolosi pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Mengulas mengenai rancangan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) bagi menapis setiap warga asing sekali gus mencegah kemasukan pengganas ke Malaysia, Ahmad Zahid berkata kementerian masih menunggu surat penerimaan sistem itu (LOA).

“APSS telah dimuktamadkan tetapi belum dilaksanakan, kami masih menunggu LOA yang akan dikeluarkan dan kami harap ada pengumuman yang akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

— BERNAMA



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast