Home Nasional Kerajaan perlu beri perhatian serius isu jemaah umrah terkandas

Kerajaan perlu beri perhatian serius isu jemaah umrah terkandas

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta bertegas dengan pengendali-pengendali pakej umrah yang menimbulkan masalah sehingga menjejaskan harapan individu yang mahu mengerjakan ibadah itu.

Seorang kakitangan awam berkata, masalah ini bukan isu baru tetapi ia berlarutan sehingga hari ini kerana tidak ada tindakan serius diambil kepada pihak-pihak yang terbabit.

Beliau tampil memberitahu MalaysiaGazette selepas hajat beberapa ahli keluarganya untuk mengerjakan umrah melalui
pengendali umrah di Bagan Serai, Perak musnah apabila pesawat Eaglexpress yang sepatutnya membawa kumpulan
jemaah menghadapi masalah.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Bob mendakwa, ahli keluarganya sepatutnya berlepas pada petang 8 Disember lalu
tetapi ketika dalam perjalanan ke KLIA, mereka dimaklumkan penerbangan ditunda.

Tambahnya, ahli keluarganya kemudian ditempatkan di sebuah hotel di Nilai.

Sehinggalah Rabu lalu, akhirnya ahli keluarganya terpaksa pulang ke rumah dengan cukup hampa kerana penerbangan masih ditunda.

“Malang bagi kumpulan umrah ini kerana urusan mereka dibuat tangan atas tangan. Pengendali umrah menggunakan agen
pengembaraan untuk menyewa pesawat.

“Jadi apabila timbul masalah seumpama ini, masing-masing menunding jari menyalahkan pihak-pihak lain. Yang menjadi
mangsa adalah mereka yang telah menjelaskan wang untuk menunaikan ibadah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bob menambah, sebagai sebuah negara Islam, kerajaan perlu mewujudkan satu penalti yang keras ke atas pengendali dan
semua pihak yang didapati menyalahgunakan wang orang ramai untuk ibadah melalui cara ini.

“Jika tidak, sampai bila-bila isu jemaah terkandas gagal diselesaikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette