Zulkifli Mohd Noor

SEPANG – Parti Alternatif Rakyat (PAP) mengesahkan akan bertanding di sekurang-kurangnya lapan kerusi Parlimen dan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Presiden PAP, Zulkifli Mohd Noor berkata, parti berbilang kaum itu telah dan sedang mengenal pasti pemimpin berkaliber termasuk dalam kalangan generasi muda dan wanita untuk diletakkan sebagai calon.

“PAP mahu menampilkan kepimpinan yang sederhana dan cara berkempen yang bersih dengan kedudukan kewangan yang seimbang dan kita juga tidak mahu terlalu yakin.

“Isu yang akan difokuskan pada PRU14 nanti termasuk isu di peringkat nasional dan tempatan antaranya isu perumahan dan pendidikan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

PAP yang mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 30 Oktober 2015, ditubuhkan oleh bekas anggota DAP susulan krisis dalaman dan kepimpinan parti itu.

Sebelum ini, PAP turut mengumumkan akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN di Pulau Pinang pada PRU14 nanti.

Dalam pada itu, Zulkifli yang juga bekas naib pengerusi DAP berkata partinya menjangkakan Pakatan Harapan akan berkubur sebelum PRU14 kerana isu pembahagian kerusi.

“Kerjasama DAP dengan PAN (Parti Amanah Negara) hanyalah sebahagian usaha untuk menarik sokongan orang Melayu kerana DAP tidak lagi mendapat sokongan apabila menganaktirikan anggota kaum Melayu.

“Kerusi mana yang DAP nak beri kepada PAN? Saya sebagai naib pengerusi dulu pun tak dapat jadi calon sebaliknya diberikan kepada calon kaum Cina yang tidak berpengalaman,” katanya.

Selain itu, katanya jika DAP bertanding pada PRU14, ia boleh dicabar dari sudut perundangan kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP masih belum diiktiraf RoS. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast