Penyanyi terkenal, Ahmad Dhani yang ‘terjerat’ dengan isunya kononnya menghina Presiden Indonesia nampaknya cuba mengelak daripada menemui wartawan Malaysia.
Beliau yang hadir pada majlis Malam Legasi Jutawan Arba Network anjuran Classic Worldwide International Group (CWIG) di Shah Alam malam tadi ditunggu-tunggu wartawan tetapi tidak hadir pada sidang media selepas majlis selesai.
Ahmad Dhani juga merupakan Duta Kopi Pak Belalang keluaran CWIG hadir membuat persembahan sempena majlis yang sama sebelum itu.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif CWIG, Datuk Seri Dr. Rozaini Hasan ‘mempertahankan’ Ahmad Dhani dan menganggap isu yang berlaku di Indonesia tidak menjejaskan tugas penyanyi itu sebagai duta produk syarikatnya.
“Sebenarnya apa yang berlaku tidak ada apa-apa, tidak seperti yang kita baca. Ia tak beri kesan,” ujarnya sambil menambah pemilihan Ahmad Dhani sebagai duta kerana beliau menjadi ikon di Indonesia selain pegangan agama yang baik kerana anak kepada ulama di republik itu.
Menurutnya, Ahmad Dhani sepatutnya turut hadir dalam sidang media yang sama tetapi muncul tanpa diketahui apa alasannya.
Sebelum itu, di Indonesia, Ahmad Dhani dikatakan didakwa membuat kenyataan menganggap Jokowi sebagai ‘anjing’ tetapi kemudiannya dinafikan kerana mendakwa videonya diedit oleh pihak tertentu.
Beberapa tahun lalu, Ahmad Dhani pernah menggemparkan dunia hiburan kerana didakwa menyokong Nazi berdasarkan stail pemakaian dan gambar di dalam album-album nyanyiannya.–MalaysiaGazette