Perdana menteri berkata kerajaan Brunei secara prinsip bersetuju untuk menyelesaikan isu birokrasi di sempadan bersama dengan Malaysia menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal.
“Jawatankuasa teknikal ini mengkaji kaedah mempermudahkan perjalanan darat tanpa semakan pasport,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bernilai RM12.5 bilion di sini hari Ahad.
“Perkara ini sedang diteliti dan mungkin kita akan dapat kata putus tidak lama lagi,” katanya.
Najib berkata sekarang rakyat Malaysia terutama sekali di Sarawak dan Sabah serta rakyat dari negara Brunei terpaksa melalui lapan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) yang ada di Sarawak, Sabah dan Brunei.
Beliau berkata keadaan ini menyebabkan pasport pemilik yang sering berulang-alik antara Sarawak, Sabah dan Brunei dicop sebanyak 16 kali.
Mengenai pembinaan Jambatan Batang Lupar, perdana menteri berkata jambatan sepanjang lima kilometer tersebut dijangka dibina pada 2018 dan perbincangan dengan kerajaan negeri sedang dijalankan memandangkan kos pembinaan ditanggung bersama dengan kerajaan persekutuan.
“Kos dianggarkan RM1 bilion dan bila siap akan menjadi antara jambatan terpanjang Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata apabila siapnya jambatan tersebut, Sarawak bakal mempunyai dua lebuh raya yang akan memberi faedah kepada penduduk di pesisiran pantai dan pedalaman negeri ini.
Jambatan itu, kata Najib, akan menjadi sebahagian lebuh raya pesisir Sarawak yang akan menghubungkan penduduk kawasan pesisiran pantai Sarawak manakala Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak.
— BERNAMA