AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR – Indeks jenayah seluruh negara dilaporkan menurun namun persepsi masyarakat terhadap kejayaan penurunan indeks itu tidak meningkat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kadar jenayah telah berkurangan antara 4.2 peratus hingga 12.6 peratus dari 2011 hingga tahun lepas tetapi persepsi tidak meningkat kerana wujud prasangka terhadap pihak polis.

“Ada antara kita tidak mahu mengakui hakikat bahawa pihak polis telah menjalankan tugas dan pada waktu yang sama ada sesetengah media tidak mahu mengakui hakikat dan pencapaian ini,” katanya ketika menjawab soalan Senator Chia Song Cheng pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara hari ini.

Chia ingin tahu statistik kadar kes jenayah seluruh negara dan usaha kementerian mengubah persepsi rakyat terhadap kadar jenayah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kejayaan penurunan ini hasil program penurunan kadar jenayah yang dilakukan Polis Diraja Malaysia dengan pelbagai pendekatan termasuk soal pencegahan, pembanterasan dan pendakwaan.

“PDRM sentiasa berusaha untuk mengurangkan peratusan indeks jenayah ini dan komited untuk bekerjasama dengan seluruh agensi penguatkuasaan dalam menjayakannya,” katanya

Kepada soalan tambahan Senator Datuk Megat Zulkarnain Wan Omardin mengenai peranan media massa yang memaparkan berita negatif mengenai keselamatan negara, Ahmad Zahid berkata berita negatif yang ditimbulkan itu tidak mustahil disertai dengan niat yang tidak baik.

“Meskipun berbeza pendapat, sesuatu fakta itu hendaklah diakui kebenarannya. Saya melihat situasi ini seperti mempolitikkan sesuatu yang ditolak sebagai fakta. Perkara sebegini perlu ditentukan oleh masyarakat sendiri untuk membuat penilaian yang objektif,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Zahid berkata pelbagai langkah diambil dalam menangani kes jenayah termasuk memodenkan usaha pencegahan jenayah, menambah aset dan peralatan dengan meletakkan kamera litar tertutup yang berteknologi tinggi di kawasan berisiko selain kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast