Datuk Azih Muda hari ini mengekalkan jawatan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi penggal kedua pemilihan pegawai tertinggi sesi 2016-2019.
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengiraan Undi, Rohaizat Hashim selepas pengundian dilakukan lebih 1,201 perwakilan, semalam sempena Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-27.
Azih mendapat 939 undi menewaskan bekas Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd. Zin dengan kelebihan 694 undi.
Sementara jawatan Timbalan Presiden I, Mohd. Shaman Jaes dan Timbalan Presiden II, Zainal Ismail juga kekal selepas masing-masing memperoleh 658 dan 418 undi.
Bagaimanapun, CUEPACS mengumumkan Setiausaha Agung baharu, Adnan Mat selepas memenangi jawatan itu dengan 876 undi menggantikan Datuk Lok Yim Pheng yang mengundur diri.–MalaysiaGazette