Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam insiden pesawat TUDM terhempas di Butterworth hari ini.

Dalam catatan terbarunya di laman sosial Twitter, Najib berkata, siasatan terperinci ke atas insiden itu akan dilakukan.

“Terima laporan tragedi nahas pesawat @airforcenextgen (Twitter rasmi TUDM), sedih ketahui ada kemalangan jiwa. Takziah kpd keluarga, siasatan terperinci akan dilakukan,” kata perdana menteri.

Dalam insiden pada 5.18 petang itu, sebuah pesawat jenis Beechcraft B200T terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth, menyebabkan juruterbangnya maut, manakala tiga yang lain cedera.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memberitahu Bernama, siasatan menyeluruh akan dilakukan untuk menyiasat punca nahas terbabit.

Beliau berkata TUDM telah menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast