PETALING JAYA – Walaupun 95.8 peratus rakyat mengetahui bahawa demam denggi adalah penyakit bawaan nyamuk, tetapi hanya 62.3 peratus sahaja yang sanggup membersihkan kawasan rumah daripada takungan air.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dapatan itu adalah hasil selidik yang dibuat Kementerian Kesihatan pada 2015.
“Hanya 62.3 peratus orang yang diselidik menyatakan bahawa mereka akan mengenal pasti kawasan pembiakan nyamuk dan menghapuskannya sekurang-kurangnya seminggu sekali.
“Dalam komuniti pula, hanya 30.6 peratus yang mengadakan gotong-royong,” katanya kepada Sinchew Daily.
Beliau berkata, dapatan Kementerian Kesihatan menunjukkan kesedaran orang ramai tentang demam denggi tidak diaktifkan kepada tindakan pencegahan demam denggi.
Katanya lagi, demam denggi adalah dipengaruhi oleh faktor musim di mana jangkitan akan mencapai kemuncak pada awal tahun dan pertengahan tahun.
“Ia dipengaruhi oleh jenis virus, vektor, faktor manusia, alam sekitar dan cuaca.
“Kawasan yang kotor dan cara pembuangan yang tidak betul menyebabkan banyak berkas menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.
Menurutnya, nyamuk betina sanggup menggigit empat hingga lima mangsa sehingga ia betul-betul kenyang.
Tambahnya, nyamuk akan lebih aktif untuk menggigit orang pada musim panas.