TUARAN – Pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi relevan kerana ia lebih kepada kepentingan peribadinya, kata Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau.
“Pandangan beliau tidak lagi relevan dan berdasarkan kepentingan peribadi sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas UPKO di Tamparuli dekat sini, hari ini.
Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Dr Mahathir bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berbentuk rasuah dan pemberiannya salah di sisi undang-undang.
Beliau berkata sejak dilaksanakan pada 2012, BR1M terbukti dapat membantu golongan berpendapatan rendah.
“Jika dulu (bantuan diberi) dalam bentuk subsidi. Kali ini, kerajaan buat bersasaran, dengan BR1M disasarkan kepada golongan B40. Bagaimana pula ia dikatakan rasuah,” katanya.
Mengenai majlis rumah terbuka itu, Madius gembira kerana rakyat pelbagai kaum di Sabah khususnya di daerah Tuaran kaum dapat bersama-sama meraikan perayaan itu.
Kira-kira 5,000 pengunjung menghadiri majlis itu termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Serusup Datuk Hajiji Noor dan Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.
— BERNAMA