Katanya, ia hanya dapat dilakukan menerusi toleransi sesama kaum, bangsa dan agama yang pelbagai dengan saling faham memahami keunikan budaya masing-masing.
“Kita merasakan bahawa toleransi tonggak utama mengekalkan keharmonian pelbagai kaum dan bangsa dan minta rakyat supaya terus mempertahankannya demi kesejahteraan negara,” katanya dalam perutusan di Majlis Rumah Terbuka Sambutan Krismas di Pusat membeli belah Pavilion, Bukit Bintang di ibu negara malam ini.
Lebih 2,000 orang hadir dalam majlis tersebut yang turut dimeriahkan dengan kemunculan beberapa watak Disney seperti Snow White, Elza dan sebagainya.
Menurut Ahmad Zahid, sambutan sesuatu perayaan itu bukan hanya berasaskan agama sahaja tetapi juga kebudayaan yang perlu diteruskan.
Tambah beliau, toleransi dan keharmonian yang dikecapi negara perlu dipertahankan daripada digugat unsur dalaman dan luaran.
Katanya, bukan mudah untuk mewujudkan keharmonian dan begitu juga dengan mengekalkan toleransi sesama kaum.
“Rakyat perlu sentiasa mendokong tanggungjawab bersama untuk mempertahankan apa yang dicapai supaya unsur dalaman atau luaran tidak menggugat perpaduan tersebut.
“Kerajaaan juga akan terus mempertahankan kebebasan beragama oleh setiap kaum, bangsa dan agama di negara ini.
“Dan kehadiran ramai pada malam ini menunjukkan satu manifestasi kepada kerajaan pentingnya keharmonian dan kesejahteraan perlu terus dipertahankan,” ujarnya lagi. — MalaysiaGazette