Home Dunia Baik buruk tindakan Duterte tangani masalah dadah

Baik buruk tindakan Duterte tangani masalah dadah

Esok genap enam bulan pemerintahan Rodrigo Duterte – menyaksikan jumlah kematian akibat perang dadah oleh Presiden Filipina itu meningkat.

Lebih daripada 6,000 orang telah dibunuh akibat dadah dalam tempoh itu, kira-kira satu pertiga daripada operasi polis.

Tindakan keras Duterte itu dikritik masyarakat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tetapi tindakan tersebut mendapat undian sangat baik dalam penarafan di Filipina, menurut Philippine Social Weather Stations, sebuah badan yang menjalankan kaji selidik.

Rakyat Filipina pula memberi pelbagai pandangan tentang tindakan Duterte menangani masalah dadah.

Felicidad Magdayao, 59, pemilik restoran makanan segera berkata, perniagaannya terjejas kerana orang ramai takut untuk keluar rumah. Bagaimanapun beliau mengakui jumlah penagih dan pengedar dadah semakin berkurangan.

Seorang pegawai polis, Ronaldo David berkata, beban fail kes di pejabat semakin berkurangan dan fokusnya hanya kepada pendidikan dan pencegahan kepada orang ramai.

Agen pusat panggilan, Cristine Angelie Garcia, 24, berpendapat sepatutnya ada cara lain untuk menangani masalah dadah tanpa pembunuhan. Bagaimanapun, beliau mengakui rasa semakin selamat berjalan pada waktu malam.

Rosalina Perez, 41, dari daerah Tondo pula berkata, pada awalnya beliau setuju dengan cara Duterte tetapi apabila ia berterusan timbul tanda-tanya kepadanya.

“Mereka (penagih) yang ingin berubah juga dibunuh, seolah-olah tidak diberi peluang oleh pihak berkuasa,” katanya sambil memberitahu adiknya, Benjamin Visda dibunuh polis semasa siasatan dadah oleh polis.

Weng Ruda, 36, ibu kepada tiga yang tinggal di kawasan setinggan tapak buangan di bandar Quezon turut setuju dengan tindakan Duterte.

Katanya, sekarang tiada lagi budak-budak melepak, sekali gus mengelakkan tabiat buruk.

Manaala, Zainab Omar, 41, guru, dari bandar Taguig memberitahu, kanak-kanak semakin selamat sekarang.

Sebelum ini, ibu bapa terpaksa mengiringi anak-anak mereka ke sekolah.

Sekarang ini mereka boleh membiarkan anak-anak mereka pergi ke sekolah dengan sendiri. – MalaysiaGazette